Wednesday, October 15, 2008

KELUARGA NAJIB ADA PERTALIAN DENGAN SEJARAH KEGEMILANGAN PULAU BESAR?

Najib Razak keturunan Bugis. Keturunan pelaut dan pejuang yang pastinya arif dengan selok-belok ilmu dan petua menundukkan taufan, ribut, badai, gelombang dan gelora untuk menuju ke pantai jaya dengan selamat. Sebab itulah warna biru laut adalah warna keturunan nenek moyangnya - warna yang lazimnya membawa tuah dan kejayaan.

Tiga tahun lalu seorang sahabat berpesan semoga Najib memijakkan kaki ke Pulau Besar di Melaka. Di Pulau itu terbina sebuah surau yang dibiayai oleh ibunya - Tun Raha - dan sebuah bangunan yang memayungi pusara Sheikh Ismail yang dibiayai oleh Tun Razak.

Mungkin tak ramai yang tau bahawa Pulau Besar adalah pusat ilmu perubatan Islam yang unggul di Nusantara di zaman silam. Pulau itu juga dikatakan jadi tempat Hang Tuah lima bersaudara berguru dan berkhatam Qur’an. Usaha menentukan kemerdekaan negara kita juga dipercayai diputuskan setelah sekumpulan para pembesar Melayu bermuzakarah di pulau berkenaan.

Jadi, Pulau Besar di zaman silam adalah sinonim dengan kegemilangan ilmu perubatan, pengajian Qur’an dan juga perjuangan Melayu. Sebab itulah agaknya Najib diperlukan menjejakkan kakinya ke pulau berkenaan untuk mengambil berkat kegemilangan tersebut.

Jika Najib sanggup bertanya mengapakah ibundanya membiayai pembinaan surau di pulau berkenaan, dan mengapakah ayahandanya pula membiayai pembinaan bangunan pusara Sheikh Ismail, mungkin Najib akan mengetahui rahsia-rahsia keluarganya yang tersembunyi di Pulau Besar.

Mesej sahabat saya ini telah disampaikan kepada Najib. Tetapi, hingga ke hari ini, Najib masih belum memijakkan kakinya ke Pulau Besar. Mungkin Najib khuatir dibabitkan dengan kisah-kisah khurafat!

Hari ini, sahabat berkenaan mengharapkan Najib mengingatkan semula mesej di atas. Katanya, sebagai seorang anak keturunan Bugis, wajarlah kalau Najib meredah gelora Selat Melaka dan menunai solat sunat di surau Pulau Besar. Kalau Najib dapat sama-sama berjemaah untuk menunaikan solat Maghrib atau Isyak di surau berkenaan adalah lagi afdal.

Dalam keadaan kritikal seperti sekarang, Najib perlu memikirkan saranan sahabat saya yang terhurai di atas. Lebih-lebih lagi sesudah seekor ikan paus seolah-olah membawa mesej yang sama dengan menghadirkan dirinya di Nenasi, di Kuala Pekan, Pahang, semalam!

Memang lazimnya ada kalangan UMNO yang berbomoh dan berpawang untuk mendapatkan kekuatan morale dan kekuatan minda dalam menempuh pertandingan dalam pemilihan UMNO.

Tetapi, percayalah. Mesej di atas bukan mengajak Najib membabitkan diri dengan amalan khurafat. Mesej di atas sekadar menyampaikan pesanan supaya Najib menunaikan solat sunat atau solat fardhu di surau di Pulau Besar yang dibiayai pembinaannya oleh ibundanya sendiri atas sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh keluarga Najib sendiri! – http://politica-net.blogspot.com

1 comment:

perubatan7puteri said...

salam untuk saudara !Apa kah kaitan Datuk Najib dengan Pulau besar...bolih saudara tolong jelaskan atau adakah Najib berketurunan dari datuk pulau besar ?