Friday, November 23, 2007

Abdullah, Berhentilah Serta-Merta

Politica

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang wajar mengundurkan diri dari persada kuasa Malaysia. Kosongkan jawatan Perdana Menteri dengan segera. Kosongkan lain-lain jawatan dalam kerajaan dengan serta-merta. Lepas itu panggil perhimpunan agung luar biasa UMNO untuk letak jaratan presiden parti.

Lintah darat serupa Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim yang selama ini bagaikan sokong membawa rebah, jangan sekali-kali masuk campur. Ini urusan Abdullah dengan rakyat. Ini masalah Abdullah dengan negara.

Rakyat makin derita berketuakan Abdullah. Negara tambah kucar-kacir dipimpin Abdullah. Demi rakyat dan demi negara, Abdullah kenalah korbankan jawatannya yang sedang jadi sumber rezeki seluruh lintah darat di sekelilingnya.

Abdullah tak payah lengah-lengah, tak payah tangguh-tangguh. Balik dari sidang CHOGM kali ini, kemaslah pejabat dan tinggalkanlah Seri Perdana. Lepas itu, ucapkanlah selamat tinggal kepada persada kuasa buat selama-lamanya.

Setelah tak ada apa-apa jawatan, baca semula puisi Ku Cari Damai Abadi. Abdullah kena tanya diri sendiri, benarkah selama jadi Perdana Menteri, yang dicarinya bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya; bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya; dan bukan kawan-kawan untuk hidup berfoya-foya?

Sesudah itu, Abdullah jawablah pertanyaan suara hati sendiri, benarkah yang dicari selama jadi Perdana Menteri, adalah Al-Ghazali dan A-Shafie? Benarkah yang mahu dibongkar oleh Abdullah selama ini adalah kitab suci untuk cari pedoman dan sunnah nabi untuk jadi panduan semoga dapat menikmati hidup yang damai abadi?

Untuk pengetahuan Abdullah, apa yang saya suarakan di sini hanya tuntutan saya sendri kepada pemimpin yang sudah tidak lagi saya yakini. Tapi, janganlah Abdullah terkejut kalau tuntutan saya ini sama dengan tuntutan gelombang rakyat di seluruh negara.