Wednesday, June 27, 2007

Gengster Singapura Huruharakan Johor?

Sumber-sumber memberitahu blog ini Isnin lalu, bahawa jenayah di Johor Bahru mutakhir ini adalah didakwa sebagai permainan sebuah kuasa asing yang dipercayai berhasrat mengerahkan pasukan keselamatannya untuk memberikan perlindungan penuh kepada loji airnya di Pulai dan Lingui, Johor.

Sumber-sumber itu mendakwa bahawa kuasa asing terbabit dikatakan berusaha melaksanakan hasrat strategik di atas menerusi pelbagai kegiatan jenayah yang boleh menimbulkan keresahan dan syak wasangka antara kaum di Johor Bahru.

Katanya lagi, hasrat tersebut juga mahu dilaksanakan menerusi kegiatan jenayah yang boleh mencetuskan konflik antara pelbagai kumpulan kongsi gelap tempatan yang beroperasi di Johor Bahru.

Lantaran itu, sumber-sumber tersebut mendakwa, terjadilah kes-kes rogol di Johor Bahru kebelakangan ini di mana mangsanya adalah keturunan Cina dan penjenayahnya pula didakwa sebagai keturunan Melayu. Kes seperti ini, jika terus berleluasa, dipercayai boleh mencetuskan perbalahan kaum.

Begitu juga dengan kegiatan ceti haram atau along. Sekumpulan sindiket asing kini didakwa sebagai aktif dengan kegiatan along di Johor Bahru. Kegiatan ini dikatakan telah menimbulkan kemarahan along tempatan kepada along asing yang didakwa sebagai beroperasi dengan kadar faedah pinjaman yang rendah.

Sumber-sumber blog ini mendakwa bahawa jenayah along ini juga dipercayai dilakukan untuk mencetuskan pertempuran antara kumpulan kongsi gelap tempatan dan asing sehingga boleh menjejaskan ketentraman awam.

Apabila seluruh kemungkinan di atas jadi kenyataan, kata sumber-sumber itu lagi, kuasa asing yang didakwa sebagai mendalangi kegiatan-kegiatan jenayah di Johor Bahru mutakhir ini pun dipercayai akan menggunakan situasi yang membimbangkan itu sebagai alasan untuk menekan kerajaan Malaysia supaya pasukan keselamatan kuasa asing itu dibenarkan memberikan perlindungan penuh kepada loji air di Pulai dan Lingui.

Demikianlah pandangan sumber-sumber blog ini Isnin lalu terhadap jenayah yang berlaku di Johor Bahru sekarang. Saya dapati sukar untuk mempercayai kenyataan sumber-sumber tersebut seperti di atas. Saya juga khuatir pemaparan berita sedemikian rupa di blog ini boleh menyebabkan saya dikenakan tindakan tertentu di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA.

Maka, saya pun terus menyiasat sama ada kenyataan dan dakwaan sumber-sumber itu seperti di atas adalah sesuatu yang sahih dan benar.

Bagaimanapun, bila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mendedahkan di Johor Bahru pada Selasa 26 Jun 2007, bahawa kumpulan gengster dari Singapura terbabit dalam kegiatan jenayah terancang di Johor, saya pun tertanya-tanya sendirian, mungkinkah maklumat daripada sumber-sumber blog ini seperti di atas adalah berkaitan dengan kenyataan ini?

Tan Sri Musa berkata, kumpulan gengster dari negara jiran itu merupakan salah satu daripada tujuh kumpulan gengster yang dikenal pasti bermaharajalela di Johor. Beliau juga berkata, kumpulan itu dilindungi oleh beberapa ‘orang yang berpengaruh’.

Jadi, mungkinkah ‘orang yang berpengaruh’ yang disebut oleh Tan Sri Musa ini adalah sebahagian daripada pihak yang melaksanakan hasrat strategik kuasa asing seperti yang didakwa oleh sumber-sumber blog ini?

Apapun, saya pasti Singapura akan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Tan Sri Musa itu. Tetapi, kalaulah siasatan rapi oleh polis Malaysia menemui bukti-bukti nyata dan pukal mengenainya, apakah Malaysia akan mengkaji semula dasar terlalu berbaik-baik dengan Singapura mutakhir ini?

No comments: