Friday, June 20, 2008

ABDULLAH SUDAH TERSINGKIR DALAM PRU12

Hari ini, Abdullah Badawi panik. Dia juga bimbang kalau-kalau usul tidak percaya terhadapnya yang mungkin dikemukakan oleh Parti Maju Sabah (SAPP) di Dewan Rakyat akan menerima sokongan dan menyebabkan beliau tersingkir daripada jawatan Perdana Menteri.

Kalau begitu, Abdullah memang betul-betul naïve. Beliau tidak insaf yang undi tidak percaya terhadap dirinya sudah pun diberikan oleh rakyat Malaysia menerusi PRU12 tempohari.

Ini sebabnya segolongan besar rakyat pada ketika ini tidak lagi yakin dan percaya terhadap apa juga kenyataan dan tindakan Abdullah. Ini sebabnya kepimpinan Abdullah dilanda krisis.

Apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad katakan dalam akhbar hari ini memang tepat. Kalau memang ada usul tidak percaya kepada Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan, usul itu pasti tidak akan diluluskan.

Ini kerana pihak pembangkang nampaknya berpecah. Ada parti pembangkang yang akan menolak usul itu kerana ia mahu Abdullah terus berkuasa.

Kalau parti pembangkang ini tidak sokong Abdullah dan kerajaan dipimpin oleh orang lain, parti ini mungkin hilang kekuatan untuk menguasai sesetengah kerajaan negeri dalam PRU13.

Jika parti ini terus menyokong Abdullah, rakyat jadi tambah kecewa dan kerajaan jadi makin lemah. Ini memudahkan parti ini terus berkuasa di beberapa negeri menerusi PRU13.

Satu lagi puak pembangkang memang mahukan Abdullah disingkirkan supaya parti berkenaan dapat segera memerintah Malaysia. Tapi macam mana parti ini mahu meluluskan usul itu kalau kekuatannya hanya umpama kail panjang sejengkal sedangkan cita-citanya adalah untuk memancing di laut dalam?

Jadi, undi tidak percaya terhadap Abdullah pasti tidak akan diluluskan di Dewan Rakyat. Tapi ini tidak bererti Abdullah kuat dan berwibawa. Sebaliknya, ini kerana soal-soal teknikal sahaja.

Hakikatnya, Abdullah memang sudah ditolak oleh rakyat jelata. Ura-ura undi tidak percaya yang sedang hangat dipolemikkan waktu ini, sama ada jadi kenyataan atau tidak, adalah tambahan kepada manifestasi tidak keyakinan rakyat kepada Abdullah semasa PRU12.

Kalau Abdullah bijaksana, budiman dan insaf akan harga dirinya yang semakin dihina dan dicaci rakyat, sewajarnya beliau mengundurkan diri secara sukarela dan segera dalam tempoh terdekat ini.

No comments: