Friday, January 2, 2009

BAHASA JIWA BANGSA - BAHASA MELAYU ADALAH BAHASA ILMU BERKURUN LAMANYA

Tema tulisan saya kali ini berat dan serius. Ia merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Ia merujuk kepada dasar sekolah satu aliran di mana hanya Bahasa Melayu digunakan untuk semua subjek kurikulumnya. Ia juga merujuk kepada persoalan mengapakah subjek matematik dan sains mesti diajar dalam bahasa Inggeris.

Sempena tahun baru ini, semua pihak perlu memikirkan tema Bahasa Jiwa Bangsa. Pada awal 1970-an, tema ini dijadikan lagu perjuangan di Radio Malaysia. Tema ini melandasi perjuangan mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tema ini diperjuangkan secara gigih dan gagah oleh pencinta serta pejuang bahasa.

Hari ini, bagaimana? Kenapakah dinafikan bahawa Basasa Melayu sudah terbukti menjadi bahasa ilmu sejak berkurun lamanya? Di manakah suara pencinta dan pejuang bahasa mengenai hal ini? Di manakah azam dan cita-cita kita semua untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Sudah berakhirkah perjuangan kita menuntut supaya subjek matematik dan sains diajar semula dalam bahasa ibunda tercinta? – http://politica-net.blogspot.com

3 comments:

ALI MAIDIN said...

Umno yang kononnya berjuang melayu pu khianat bahasa melayu

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Nasib Bahasa Melayu terletak di tangan pemimpin Melayu yang memegang tampuk kuasa. Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 152 jelas menunjukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi bagi negara ini.

Sejak Kerajaan Melayu Melaka, Bahasa Melayu menjadi Bahasa Linguafranca di kalangan pedagang-pedagang seluruh dunia.Negara kita dijajah sejak daripada Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun namun Bahasa Melayu terus wujud. Selagi ada penuturnya baik di kalangan rakyat biasa hinggalah kepada istana ,bahasa ini terus utuh, teguh dan berkembang.

Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968.Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, Nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum.

Apa pun sebutannya ia tetap Bahasa Melayu yang kita faham maksudnya.Kesenimbungan sejarah dan perkembangan Bahasa Melayu adalah digalas kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa.

Semenjak pemerintahan Tunku Abdul Rahman, Tun Abd.Razak dan Tun Hussein, Bahasa Melayu tetap terpelihara sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa Rasmi negara. Lebih penting lagi tidak ada suatu dasar kerajaan yang boleh melemahan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.

Kita mengharapkan di zaman Tun Mahathir Mohamad, Bapa Malaysia Moden ini akan menjulangkan Bahasa Melayu seperti mana beliau menjulangkan Malaysia antara negara membangun yang paling maju di dunia. Harapan kita selain menjulangkan ekonomi dan pembangunan negara, beliau dapat juga menjulangkan Budaya dan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa utama di dunia. Kita menaruh harapan kerana Tun adalah manusia Melayu genius, berjiwa besar dan berkeyakinan tinggi. Slogan 'Malaysia Boleh', 'Yakin Boleh' dan ungkapan-ungkapan motivasi telah meletakkan rakyat Malaysia di puncak Everest dan Kutup Utara.

Namun 'Malaysia Boleh'dan 'Yakin Boleh' masih belum cukup untuk kita merealisasikan 'Bahasa Melayu Boleh' walaupun bahasa itu telah wujud 1000 tahun dahulu. Pernah menjadi bahasa perdagangan, Bahasa pengembangan Agama Islam, Bahasa Pentadbiran dan Bahasa Ilmu Pengetahuan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.

Statistik di atas masih lagi belum berupaya untuk menanamkan 'keazaman politik' pemimpin-pemimpin Melayu untuk bertutur Bahasa Melayu dan mengangkat martabat Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya.

Kehebatan Bahasa Melayu terkandung di dalam konsep 'Ketuanan Melayu' yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu tetapi tidak dihayati. Sebab itu rakyat mempertikaikan konsep 'Ketuanan Melayu' yang diwar-warkan itu.

Bahasa Melayu yang berkait rapat dengan 'Ketuanan Melayu' itu sekali lagi terhakis dan terguris apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.

Nyata sekali, pemimpin-pemimpin Melayu yang berjiwa besar, mempunyai semangat nasionalisme tinggi, berfikiran global yang diharapkan oleh rakyat untuk mengangkat Bahasa Melayu tetapi pemimpin-pemimpin inilah yang meminggirkan Bahasa Melayu. Pak Lah dihujung pemerintahannya juga dilihat tidak mampu untuk mengembalikan semula kehebatan, keunggulan,kewibawaan dan kedaulatan Bahasa Melayu di tanah air tercinta ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Awang Kata said...

Kalau bahasa Melayu jadi bahasa rasmi Malaysia sejak 1968, bermakna dah 40 tahun usianya. Takkan masih tidak matang.

Ini soal jiwa bangsa. Jiwa yang lemah dah tentu tindakannya lemah. Yang bermasalah dan sakit- jiwanya.

Antara tandanya, masih bersikap tidak apa dengan label produk luar dalam bahasa asing diedarkan dalam negara. Patutnya kuat kuasakan setiap produk yang nak diedarkan dalam negara mesti berbahasa Melayu.

Satu demi satu isu bahasa sendiri diperlekeh, dan peliknya pemimpin seperti tidak endah bahkan menolongkan lagi bahasa diperlekeh- dalam PPSMI. Hubaya.